Tiada keperluan naik taraf SSBJ kepada kolej, universiti sukan - Bekas pengetua

Bernama
September 1, 2024 13:00 MYT
Marina berkata setiap pelajar yang menimba ilmu di SSBJ mempunyai potensi dan bakat lain yang harus ditonjolkan dan bukan terarah kepada karier sukan semata-mata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Datuk Marina Chin berpendapat tiada keperluan untuk menaik taraf sekolah itu menjadi kolej atau universiti sukan.
Beliau berkata setiap pelajar yang menimba ilmu di SSBJ mempunyai potensi dan bakat lain yang harus ditonjolkan dan bukan terarah kepada karier sukan semata-mata.
"Pelajar ada kehidupan lain selepas karier sukan, mereka tidak terhad kepada sukan sahaja. Saya ada ramai pelajar bagus dalam sukan dan bagus dalam banyak perkara seperti menyanyi dan ada yang cemerlang dalam pelajaran. Kenapa nak hentikan mereka jadi doktor, peguam, jurutera dan kerjaya lain?.
"Kenapa kita nak hadkan karier mereka kepada sukan sahaja, kalau mereka berminat untuk teruskan dalam sukan, baik, mereka boleh (menjadi jurulatih). Kebanyakan jurulatih di SSBJ bekas atlet, mereka masuk universiti buat pendidikan dan jadi jurulatih," katanya kepada pemberita di sini.
Marina yang juga legenda olahraga negara berkata had umur sedia ada bagi SSBJ perlu dikekalkan kerana menyifatkan masa yang diperlukan pelajar dalam akademi dan sukan sudah seimbang.
Julai lepas, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan universiti sukan bagi memastikan atlet pelapis terutama lepasan sekolah sukan terus berkecimpung dalam sukan sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.
Susulan itu, penganalisis sukan Datuk Pekan Ramli berpendapat penubuhan universiti sukan di Malaysia boleh dilakukan tanpa mewujudkan institusi pengajian tinggi yang baharu, sebaliknya menaik taraf sekolah-sekolah sukan sedia ada bagi tujuan itu.
-- BERNAMA
#SSBJ #naik taraf #universiti sukan #tidak setuju