Tiada kelibat Zii Jia, Axelsen di Masters Malaysia
Bernama
Julai 4, 2022 21:36 MYT
Julai 4, 2022 21:36 MYT
KUALA LUMPUR: Peminat badminton tanah air terlepas peluang menyaksikan aksi jaguh perseorangan utama negara Lee Zii Jia dan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen di kejohanan badminton Masters Malaysia yang akan membuka tirai esok.
Berdasarkan jadual perlawanan terkini dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Zii Jia dan Axelsen tiada dalam senarai bertanding pada kejohanan yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil itu.
Sementara itu, Axelsen menerusi akaun Instagram peribadinya berkata beliau memerlukan waktu rehat secukupnya bagi memastikan stamina berada pada tahap terbaik untuk beraksi cemerlang pada kejohanan akan datang.
Juara Terbuka Malaysia 2022 itu turut memberi bayangan tidak akan beraksi di Terbuka Singapura pada 12 hingga 17 Julai ini.
Jaguh dari Denmark itu berterima kasih atas sokongan peminat yang mengikuti perjalanan kariernya sepanjang tiga kejohanan iaitu Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia baru-baru ini.
SUKAN-BADMINTON (ZII JIA) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Saya memerlukan beberapa hari untuk berehat, meraikan kemenangan saya bersama keluarga dan kemudian membina semula sasaran baharu," katanya menerusi Instagram.
Semalam, pemain berusia 28 tahun itu menewaskan pemain nombor dua dunia dari Jepun Kento Momota 21-4, 21-7 sekali gus muncul pemain kedua Eropah menjuarai Terbuka Malaysia selepas Pete Gade pada 2007.
Beliau melakar kejayaan hatrik dalam tempoh sebulan selepas Master Indonesia dan Terbuka Indonesia manakal Zii Jia pula terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas dikejutkan pemain bukan pilihan dari Indonesia Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21.
Kejohanan Masters Malaysia bermula esok hingga 10 Julai.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia
#viktor axelsen
#kejohanan badminton
#Masters Malaysia
#BWF
#persekutuan badminton dunia