Tiada jalan singkat bagi China wujudkan budaya bola sepak baru
Astro Arena
Januari 20, 2017 14:29 MYT
Januari 20, 2017 14:29 MYT
EMPAYAR Rom tidak dibina dalam satu hari dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menegaskan ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk Liga Super China (CSL) mencipta budaya bola sepak yang baru.
CSL telah memenuhi dada akhbar saban minggu susulan ketibaan Oscar, Carlos Tevez dan Axel Witsel yang berhijrah ke tanah besar China dengan yuran perpindahan serta bayaran gaji yang cukup lumayan.
China sudah pun menjadi rumah kedua buat bintang bola sepak dunia seperti Hulk, Ezequiel Lavezzi, Ramires, Alex Teixeira dan pengendali, Andre Villas-Boas serta Manuel Pellegrini.
Wenger memuji pembangunan mendadak oleh bola sepak China, namun dia yang tiba di Arsenal dari kelab Jepun, Nagoya Grampus pada tahun 1996, berkata negara itu memerlukan masa bertahun-tahun untuk menyaingi bola sepak Eropah.
"Tiada sesiapa yang mampu mencipta liga terbaik dunia semalaman, kamu perlu bekerja keras untuk bertahun-tahun lamanya," ujar Wenger.
"Bola sepak profesional di England telah wujud untuk tempoh 150 tahun tetapi kami masih bergelut!
"Saya percaya ia satu proses yang memakan masa untuk mencipta budaya bola sepak yang baharu.
"Ia akan mengambil masa yang lama, itu pun kita masih tidak tahu sama ada China akan meneruskan apa yang mereka lakukan ketika ini dalam tempoh 10 tahun akan datang."