Tiada had kontrak untuk Lionel Messi, kata Bartomeu
Astro Arena
September 9, 2016 09:24 MYT
September 9, 2016 09:24 MYT
LIONEL Messi mempunyai kontrak bersama Barcelona 'selama-lamanya', tetapi terpulang kepada penyerang tersebut berapa lama dia mahu kekal di kelab itu, tegas Presiden FC Barcelona, Josep Maria Bartomeu.
Rundingan kontrak bakal diadakan bersama pemain berusia 29 tahun itu dalam masa terdekat, dengan kontrak terkininya akan tamat pada Jun 2018.
Bartomeu difahamkan berminat untuk terus mengikat bintang Barca itu dengan perjanjian lebih lama tetapi pilihan berada di tangan Messi.
"Messi mempunyai masa selama mana yang dimahukannya (bersama Barcelona). Dia merupakan pemain bola sepak terbaik di dunia dan dia bermain dengan kami," Bartomeu memberitahu ESPN FC.
Tambahnya, kelab amat gembira dan dia merupakan pemain yang cukup penting untuk pasukan, penyokong-penyokongnya, dan juga dalam arena bola sepak itu sendiri.
"Dalam bulan-bulan yang akan datang, sudah tentu kami akan bercakap dengannya kerana dia tahu dia mempunyai kontrak selama-lamanya. Tiada had untuknya.
"Had itu akan diputuskannya sendiri dan sekarang dia sudah berusia 29 tahun, dia adalah seorang yang berbakat, dia bercita-cita tinggi, dan dia dalam prestasi yang terbaik untuk terus bermain selama bertahun-tahun lagi," ujarnya.
Jelas Bartomeu, buat masa ini, pihaknya sedang memikirkan apa yang akan dilakukan pada bulan-bulan akan datang, tetapi Messi akan terus berada di Barcelona.