Tiada gelaran juara buat Lin Dan, Chen Long dan Marin cipta sejarah

Bernama
April 5, 2015 23:11 MYT
Hasrat juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila disekat rakan senegara Chen Long. - Foto Bernama
Hasrat juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila disekat rakan senegara Chen Long pada
perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Ahad.
Pemain berusia 31 tahun itu yang kali terakhir beraksi di Terbuka Malaysia pada 2012 di mana beliau tewas kepada jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, gagal menjulang kejuaraan tersebut kali ini, walaupun tanpa kelibat pencabar sengitnya itu yang digantung sementara berikutan kes doping.
Lin Dan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, bermula cemerlang pada set pertama apabila mengatasi Chen Long yang juga pemain nombor satu dunia, dengan 22-20 sebelum tewas dua set seterusnya 13-21 dan 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam 18 minit.
Bagaimanapun, Lin Dan yang juga juara dunia lima kali, yakin untuk menjulang kejuaraan tersebut tahun depan, dengan berdepan Chong Wei.
"Kekalahan ini disebabkan corak permainan saya yang perlahan dan tidak yakin sehingga membolehkan Chen Long memenangi set kedua dan ketiga. Oleh kerana Terbuka Malaysia antara kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, saya akan kembali ke sini tahun depan dan harap dapat berdepan dengan Chong Wei," katanya.
Lin Dan yang dianggap ramai pemerhati sukan sebagai pemain badminton terhebat sepanjang zaman, telah meraih pelbagai gelaran utama seperti Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Sudirman, All England dan Sukan Asia, namun belum pernah merangkul gelaran Terbuka Malaysia.
Dalam pada itu, Chen Long yang juga pilihan pertama kejohanan, berkata beliau berpuas hati dengan prestasinya hari ini, kerana sebelum ini beliau sudah mempersiapkan diri berdepan apa jua kemungkinan apabila berdepan Lin Dan.
"Sebagai pemain junior, saya perlu positif apabila penonton memberi sokongan kepada Lin Dan," kata pemain berusia 26 tahun itu, yang turut berharap Chong Wei berjaya dalam menghadapi panel pendengaran kesnya itu dan dapat kembali beraksi di gelanggang secepat mungkin.
Chen Long, juara dunia tahun lepas, menggunakan kelebihan untuk membawa pulang gelaran Terbuka Malaysia ke China selepas 17 tahun, berikutan ketiadaan Chong Wei yang menjulang kejuaraan tersebut sebanyak 10 kali sejak 2004, dan hanya gagal pada edisi 2007 apabila tumpas di suku akhir.
Sementara itu, Carolina Marin dari Sepanyol menafikan penguasaan China pada kejohanan tersebut apabila muncul juara acara perseorangan wanita selepas menumpaskan Li Xuerui dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-19 dan 21-17 dalam masa satu jam 11 minit.
Biarpun badminton kurang popular di Sepanyol, kesungguhan Marin terhadap sukan berkenaan menjadikan beliau pemain Sepanyol pertama dan pemain Eropah kedua selepas Tine Rasmussen dari Denmark, untuk meraih gelaran Terbuka Malaysia.
Mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah, Marin bangkit daripada ketinggalan pada set ketiga 9-14 untuk meraih lapan mata berturut-turut untuk mendahului pemain China itu 17-14 sebelum menamatkan saingan dengan 21-17, sekali gus memastikan gelaran sulung Terbuka Malaysia miliknya.
"Sejak awal lagi, saya sudah menduga akan berdepan perlawanan yang sukar...jadi saya berpuas hati kerana berjaya meraih gelaran ini. Apabila mendapat sokongan daripada penyokong, saya bertambah yakin dan bertenaga untuk memenangi perlawanan tersebut," kata Marin.
Juara perseorangan wanita membawa pulang hadiah wang tunai US$37,500 (RM135,934) manakala naib juara US$19,000 (RM68,873).
#badminton #Lee Chong Wei #Lin Dan #Siri Super Terbuka Malaysia 2015 #Tommy Sugiarto
;