Tiada fasiliti, stadium baharu untuk sukan SEA 2027 - Adam Adli

Faida Rahim
Disember 4, 2024 11:00 MYT
Kerajaan tidak berhasrat untuk membina stadium atau fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027, kata Adam Adli. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk membina stadium atau fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Menurut beliau, kerajaan, bagaimanapun, akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan pada 2027 termasuk di Sarawak selepas kordinasi dan perbincangan lanjut diadakan.
Adam Adli menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang meminta beliau menyatakan rancangan untuk menambah baik stadium dan fasiliti sukan serta membangunkan perkampungan atlet di seluruh Sarawak bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar.
"Kementerian akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri setelah penubuhan jawatankuasa pengelola dan sekretariat Sukan SEA 2027.
“Sehingga kini, kita tidak ada hasrat untuk bina fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027.
“Bagaimanapun, kerajaan akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan pada 2027 akan datang termasuk di Sarawak selepas diadakan kordinasi dan perbincangan lanjut," katanya.
Tambah Adam, pemilihan atlet dijalankan Majlis Sukan Negara dengan kerjasama persatuan sukan melibatkan antara 38 hingga 44 jenis sukan dipertandingkan.
Pemilihan atlet juga, jelas beliau, berlaku dari semasa ke semasa menerusi banyak saluran.
"Antaranya seperti Sukan Malaysia dan juga sukan-sukan terbuka. Kita beri peluang sebenarnya Sukan SEA ini sebagai platform atlet-atlet baharu berbanding atlet-atlet senior kerana ini adalah salah satu temasya sukan yang tersedia untuk mereka mewakili negara pada peringkat awal karier mereka sebelum berinjak ke sukan lebih besar seperti Sukan Asia, Komanwel atau Olimpik," katanya.
#Sukan SEA 2027 #kemudahan sukan #Stadium baharu #Adam Adli Abd Halim
;