Tiada bantuan khusus buat sukan permotoran - Mokhzani

Astro Arena
Mei 20, 2020 08:23 MYT
Mokhzani yakin penganjuran sukan permotoran akan kembali bermula sekurang-kurangnya sebelum November depan. - Gambar hiasan
KETIKA peluang besar menanti atlet yang berada dalam Program Road to Tokyo (RTT), nasib mereka dalam sukan permotoran tidak begitu mengujakan.
"Tiada bantuan kewangan" adalah pendirian Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) terhadap situasi pelumba-pelumba negara dalam berdepan impak wabak novel koranavirus (COVID-19), bagaimanapun usaha mempercepatkan garis panduan penganjuran sukan permotoran akan dilakukan secepat mungkin.
Sebelum ini, daripada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkenaan larangan sebarang aktiviti sukan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sukan permotoran dua roda dan empat roda negara kini di ambang musibah.
Sukan itu bergerak secara sendiri tanpa bantuan khusus daripada kerajaan tetapi dengan situasi semasa berikutan pandemik berkenaan, ramai dalam kalangan penggiat sukan permotoran tempatan bakal kehilangan mata pencarian, terutama melibatkan saingan Kejohanan Cub Prix Malaysia.
"Kami tidak mempunyai bantuan khusus kepada peserta atau penganjur.
"Kami cuba mempercepatkan semua garis bantuan supaya kami adakan program sama ada dengan kehadiran penonton atau tidak supaya kejohanan dapat bermula secepat mungkin," kata Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi wartawan, Wan Muiz Wan Aziz, pada Selasa.
BACA: Road to Tokyo: Atlet diberi kelonggaran khas untuk berlatih mulai 1 Jun
Bagaimanapun, beliau yakin penganjuran sukan permotoran akan kembali bermula sekurang-kurangnya sebelum November depan.
"Kalau boleh, saya nak cuba menganjurkannya sebelum MotoGP Malaysia.
"Kami berhasrat adakan program pemanas badan untuk menarik semula minat orang ramai terhadap sukan permotoran sebelum acara terbesar ini."
#aktiviti sukan #bantuan #COVID-19 #garis panduan #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #larangan #Mokhzani Mahathir #MotoGP #musibah #Persatuan Sukan Bermotor Malaysia #PKP #Road to Tokyo #RTT #sukan #sukan permotoran #wabak
;