Thunderbolt pertahan gelaran MJHL
Syamil Izwan Azizan
Februari 7, 2013 22:31 MYT
Februari 7, 2013 22:31 MYT
SSTMI Thunderbolt mengekalkan penguasaan mereka dalam saingan Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) dengan menjuarainya buat kali kedua berturut-turut.
Kemampuan menyempurnakan pukulan sudut penalti menjadi senjata utama Thunderbolt selepas mengatasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam aksi terakhir liga pada Khamis.
Jurulatih Thunderbolt, Wan Roslan Wan Abdul Rahman menyifatkan ia satu kejayaan membanggakan selepas pemain-pemainnya terpaksa mengharungi jadual yang padat.
"Secara keseluruhan memang kita berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan," ujar Wan Roslan.
"Kelebihan memihak kepada UniKL kerana mereka mempunyai tempoh rehat seminggu berbanding kami yang mengharungi beberapa perlawanan dan kekurangan tempoh rehat," jelas Wan Roslan selepas pasukannya mencatat kemenangan 4-3 ke atas UniKL.
Amir Zulkarnain muncul wira Thunderbolt dengan gol kemenangan lewat permainan.
Kemenangan itu menyaksikan Thunderbolt mengumpul 18 mata daripada tujuh perlawanan, jumlah mata yang sama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tetapi Thunderbolt lebih unggul dengan perbezaan jaringan yang lebih besar.
Jurulatih UniKL, K.Enbaraj turut mengakui Thunderbolt beraksi lebih baik berbanding pasukannya.
"Satu perlawanan yang sengit tetapi siapa yang dapat mengambil peluang akan menang."
"Kali ini SSTMI mengambil peluang itu menerusi pukulan sudut penalti dengan empat gol dihasilkan, itu satu pulangan yang baik buat mereka.", jelas Enbaraj yang tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukannya.
Dalam tujuh perlawanan, UniKL memperoleh lima kemenangan dan tumpas dua kali. Mereka menduduki tangga ketiga liga.