THT pertahan kejuaraan Divisyen Premier MHL

Bernama
Mac 11, 2023 23:30 MYT
Pemain Terengganu Hockey Team (THT) bergambar selepas meraikan kemenangan pada perlawanan Liga Hoki Malaysia 2023 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Batu Buruk hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Terengganu Hockey Team (THT) mengesahkan kejuaraan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) di sini, petang ini.
Pertembungan kedua-dua pasukan itu berlangsung sengit apabila THT yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Seo Jongho bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum berhasil meledak jaringan kemenangan untuk mempertahankan gelaran pada aksi terakhir liga itu.
Pemain kebangsaan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan TNB di hadapan pada minit ke-30 menerusi jaringan padang selepas kedua-dua pasukan buntu memecah jaringan di awal permainan, sebelum THT menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil gol padang Abdul Khaliq Hamirin.
TNB kembali mendahului selepas pemain kebangsaan Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42, namun kedudukan 2-1 hanya bertahan lima minit apabila pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak jaringan kedua THT hasil pukulan sudut penalti.
Jonghyun muncul wira pasukan selepas meledak gol ketiga THT dan jaringan kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti ketika permainan berbaki beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.
THT yang tidak tewas dan hanya seri sekali dalam keseluruhan 14 perlawanan mengumpul 40 mata untuk berada di persada liga, manakala TNB yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin kekal di tangga kedua dengan 34 mata.
"Perlawanan hari ini amat menarik dan mencabar. Terima kasih kepada semua pemain kami. Kami fokus untuk menang semua perlawanan dan kami melangkah sebagai satu pasukan," kata Jongho ketika ditemui selepas perlawanan.
Nor Saiful Zaini yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya pula berkata: "Kita juga banyak buat kesilapan. Kita hanya tunggu di tengah, tunggu mereka (THT) datang."
Sementara itu, Maybank menamatkan saingan di tempat ketiga selepas terikat tanpa jaringan menentang TNB Thunderbolts, manakala posisi keempat menjadi milik UiTM HA-KPT yang menewaskan Nurinsafi Sporting 5-2 dalam perlawanan lain.
Dalam pada itu, saingan MHL akan beralih kepada perebutan kejuaraan Piala TNB yang bermula dengan peringkat separuh akhir secara timbal balik pada Selasa ini.
THT yang juga juara Piala Sumbangsih musim ini akan membuat perhitungan menentang UiTM HA-KPT sementara TNB akan berentap dengan Maybank.
-- BERNAMA
#THT #Divisyen Premier MHL #Terengganu Hockey Team #pertahan kejuaraan
;