Thomas Cup: Zii Jia ketepikan 'kegoyahan' kem perseorangan lelaki negara

Bernama
April 26, 2024 21:58 MYT
Pemain perseorangan lelaki negara Lee, Zii Jia ketika sesi latihan sempena Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone hari ini. - Foto BERNAMA
CHENGDU: Pemain profesional negara Lee Zii Jia tidak mahu terlalu memikirkan situasi kem perseorangan negara yang kurang mantap menjelang aksi pembukaan Kumpulan D saingan Piala Thomas 2024 berdepan Hong Kong, esok.
Mengakui kelemahan kem perseorangan lelaki negara pada penampilan kali ini, pemain di ranking ke-10 dunia itu berkata beliau akan menyerap situasi berkenaan dan sedaya upaya menggunak setiap detik dalam kejohanan diadakan di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China itu.
"Goyah tak goyah perlu main juga. Jika kita terus memikirkan pemain perseorangan kita goyah dan lemah, saya tak rasa ia membantu kita. Apa yang perlu saya lakukan, menikmati kejohanan ini," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Tanpa kelibat Ng Tze Yong yang masih belum pulih sepenuhnya selepas pembedahan belakang, Malaysia tiada pilihan selain mempertaruhkan juara Asia 2017 Leong Jun Hao kemungkinan turun sebagai perseorangan kedua, diikuti Cheam June Wei dan Justin Hoh pada kejohanan berprestij itu.
Zii Jia yang turun selaku perseorangan pertama berkemungkinan berdepan pemain di ranking ke-15 Lee Cheuk Yiu itu bertekad memberikan permulaan terbaik buat Malaysia pada perlawanan esok.
"Cheuk Yiu pastinya lawan yang sukar...kita semua tahu mata pertama adalah sangat penting tapi saya tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada diri saya," katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu, Cheuk Yiu menang dalam dua daripada tiga pertemuan dengan pemain berusia 26 tahun negara itu.
Sementara itu, kapten pasukan Soh Wooi Yik berkata pemain beregu berada dalam keadaan terbaik dan bersemangat untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kemenangan pertama buat Malaysia.
Bagi Aaron Chia pula berkata semangat berpasukan sangat baik ketika ini dan berharap Malaysia memperoleh kemanangan menentang Hong Kong.
Selepas Hong Kong, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan berdepan Algeria pada Ahad sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan berentap dengan juara 2016 yang jaguh Eropah, Denmark.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
-- BERNAMA
#Piala Thomas #Lee Zii Jia #Hong Kong #badminton
;