Thiem umum tarik diri dari Terbuka Wimbledon

Astro Arena
Jun 25, 2021 09:46 MYT
Thiem menjelaskan dia memerlukan tempoh lima minggu bagi tujuan rawatan. - Foto Instagram/Dominic Thiem
DOMINIC THIEM tidak akan menyertai Terbuka Wimbledon selepas dilanda kecederaan pergelangan tangan selain berdepan kesuntukan masa untuk mempertahankan gelaran Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat.
Pemain nombor lima dunia itu terpaksa menarik diri, yang sedang ketinggalan 5-2 dalam set pembukaan, ketika menentang Adrian Mannarino dalam Kejohanan Mallorca, semalam.
Pemeriksaan lanjut oleh pakar di Barcelona menunjukkan bahawa Thiem memerlukan masa untuk pulih, ini bermakna dia perlu melupakan Terbuka Wimbledon termasuk kejohanan di Hamburg dan Gstaad pada bulan depan.
Menurut di akaun media sosial peribadinya, Thiem menjelaskan dia memerlukan tempoh lima minggu bagi tujuan rawatan sebelum dapat membuka pendakap pergelangan tangannya itu.
Dengan Terbuka AS bermula pada 30 Ogos, pilihan keempat kejohanan itu tidak mempunyai banyak masa untuk memulihkan kecergasan fizikal dan mengembalikan sentuhan terbaiknya.
"Saya diberitau bahawa saya mungkin akan tersisih selama beberapa minggu, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk kembali ke gelanggang tidak lama lagi.
"Saya benar-benar kesal kerana terpaksa menarik diri dalam tiga kejohanan yang akan datang: Wimbledon, Hamburg dan Gstaad.
"Ia adalah kejohanan yang sangat mustahak buat saya. Saya menghargai semua sokongan peminat dalam masa sukar ini - saya bertekad untuk kembali lebih kuat," katanya yang sudah mengesahkan penyertaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
#tennis #Terbuka Wimbledon #Dominic Thiem #tarik diri #Terbuka AS
;