Thailand tarik diri sertai Pestabola Merdeka

Sinar Harian
Januari 24, 2023 18:33 MYT
Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memaklumkan tarikh Pestabola Merdeka itu akan bertembung dengan Piala Raja Thailand. - Fail/AP
THAILAND tidak akan menyertai saingan Pestabola Merdeka kerana akan memberikan tumpuan kepada Piala Raja Thailand yang akan diadakan pada September depan.
Memetik laporan media Thailand, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memaklumkan tarikh Pestabola Merdeka itu akan bertembung dengan Piala Raja Thailand.
Malah, FAT juga memaklumkan pihak mereka belum menerima sebarang jemputan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk menyertai kejohanan itu.
"Setiausaha Agung FAT, Patis Supaphong menyatakan pasukan Thailand sudah mempunyai perancangan ketika kalendar FIFA pada September dan sudah menganjurkan Piala Raja Thailand.
"FAT juga sedang menjemput beberapa pasukan untuk beraksi dalam saingan piala berkenaan," kata laporan itu.
FAM sebelum ini menyasarkan Thailand, Vietnam, Palestin dan Syria untuk menyertai Pestabola Merdeka selepas kali terakhir kejohanan tersebut diadakan pada 2013.
Beberapa pasukan seperti Vietnam, Palestin dan Syria juga dalam perancangan badan induk bola sepak negara itu untuk dijemput beraksi dalam Pestabola Merdeka. -- Sinar Harian
#Pestabola Merdeka #Thailand #Malaysia #piala raja thailand
;