Thailand sambut lebih 3,000 perwakilan untuk Kongres FIFA ke-74
Bernama
Mei 13, 2024 23:14 MYT
Mei 13, 2024 23:14 MYT
BANGKOK: Thailand pada Isnin menyambut lebih 3,000 perwakilan dari persatuan anggota Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menghadiri Kongres FIFA ke-74 di Bangkok dari 13 hingga 17 Mei.
Sebagai negara ASEAN pertama dan kelima di Asia Pasifik selepas Jepun, Korea Selatan, Qatar, dan Australia untuk menganjurkan acara berprestij itu, persidangan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Ratu Sirikit.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Sermsak Pongpanich berkata kerajaan Thailand sangat fokus untuk menganjurkan persidangan itu kerana ia akan dihadiri oleh anggota FIFA daripada 211 persatuan anggota.
"Acara ini akan disiarkan di seluruh dunia. Ia adalah peluang besar untuk Thailand mempromosikan pelancongan, budaya, tradisi dan gaya hidupnya, yang menekankan dasar kuasa lembut yang dianggap sebagai strategi penting negara," katanya kepada media tempatan baru-baru ini.
Kongres ini merupakan acara terbesar FIFA di luar padang dan akan dihadiri oleh pemain legenda, termasuk pemenang Piala Dunia 1998 Perancis Youri Djorkaeff, bekas pemain antarabangsa Maghribi Houssine Kharja dan bekas pemain antarabangsa Switzerland Gelson Fernandes.
Kemuncak acara selama lima hari ini adalah proses pengundian yang akan berlangsung pada 17 Mei, yang akan menentukan tuan rumah Piala Dunia Wanita 2027.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsam dalam hantaran di akaun Instagramnya berkata ia adalah detik bersejarah bagi persatuan itu kerana negaranya dipilih oleh FIFA sebagai tuan rumah.
Nualphan yang menyambut ketibaan Presiden FIFA Gianni Infantino ke Thailand semalam, berkata beliau percaya Kongres FIFA ke-74 akan meninggalkan kesan yang baik kepada individu di seluruh dunia.
-- BERNAMA