Thailand kini di kedudukan 101 ranking FIFA

Bernama
Februari 16, 2024 12:40 MYT
FA Thailand berkata War Elephants berjaya memperbaiki ranking susulan prestasi yang baik dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Doha baru-baru ini. - Foto Facebook FA Thailand
BANGKOK: Pasukan bola sepak lelaki Thailand kini berada di kedudukan 101 dalam senarai ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding di tempat ke 113 sebelum ini.
Thailand mendaki 12 anak tangga untuk mengekalkan ranking teratas FIFA di Asia Tenggara diikuti Vietnam, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Singapura.
Persatuan Bola Sepak (FA) Thailand berkata War Elephants berjaya memperbaiki ranking mereka susulan prestasi yang baik dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Doha baru-baru ini.
Di bawah pimpinan jurulatih Masatada Ishii, Thailand membuat kejutan apabila berjaya melangkah ke peringkat kalah mati.
Thailand menunjukkan momentum yang positif dengan memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Kyrgyzstan, seri tanpa jaringan ketika bertemu Oman dan Arab Saudi untuk mara ke peringkat seterusnya.
Namun, pasukan itu tersingkir selepas kecundang 1-2 di tangan Uzbekistan pada pusingan kalah mati.
-- BERNAMA
#FIFA #bola sepak #Thailand #Piala Asia 2023
;