TFC turun harga tiket hargai penyokong

Bernama
Julai 28, 2024 10:06 MYT
TFCSB mengumumkan menurunkan harga tiket bagi perlawanan Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
KUALA NERUS: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengumumkan menurunkan harga tiket bagi perlawanan Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabri Abas berkata keputusan itu sebagai tanda penghargaan kelab terhadap sokongan padu yang ditunjukkan penyokong bola sepak Terengganu pada setiap musim.
Beliau berkata ia juga satu daripada usaha kelab menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak ke stadium untuk menonton perlawanan bersama-sama.
"Untuk jualan tiket fizikal dan secara dalam talian bagi penyokong biasa dewasa, harga diturunkan daripada RM20 kepada RM15 manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah mereka boleh masuk secara percuma berbanding harga tiket asal iaitu RM10.
"Untuk ahli kelab TFC pula, harga jualan tiket secara dalam talian diturunkan kepada RM10 berbanding RM15 harga biasa. Kita mahu hari perlawanan Selasa ini menjadi hari keluarga untuk penyokong skuad Penyu," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata kehadiran penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sentiasa memberangsangkan dengan kutipan tertinggi dicatat pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara TFC dan Selangor FC, 19 Julai lepas.
Beliau berkata sebanyak 57,725 tiket telah berjaya dijual dalam tiga perlawanan Piala FA menentang Perak FC, Sabah FC dan Selangor FC.
"Walaupun TFC tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super baru-baru ini, ia tidak akan melemahkan semangat peminat dan menjejaskan jualan tiket kerana semua sedia maklum kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan.
"Oleh itu saya menyeru semua peminat supaya datang memenuhkan stadium Selasa ini kerana kita juga akan edarkan makanan ringan percuma dan hadiah istimewa untuk penyokong bertuah," katanya.
-- BERNAMA
#TFC #Terengganu FC #harga tiket #Negeri Sembilan FC