TFC mulakan kempen Piala Shopee dengan langkah kiri
Bernama
Ogos 21, 2024 06:00 MYT
Ogos 21, 2024 06:00 MYT
KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) membuka aksi pertama Kumpulan A saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan langkah kiri apabila tewas 2-3 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng FC.
Pasukan pelawat bermula garang apabila melancarkan serangan seawal minit pertama untuk meledak gol pembukaan hasil tendangan leret penyerang import kelahiran Brazil, Gabriel Costa pada minit ke-12.
Berselang tiga minit gawang tuan rumah bocor lagi, kali ini hasil rembatan penyerang import, Pablo Augusto yang sempat menyambar bola muntah diselamatkan penjaga gol, Suhaimi Husin untuk jaringan gol kedua Svay Rieng FC.
Mendahului 2-0, skuad kendalian Jose Munoz itu semakin rancak melancarkan serangan bagi menyempurnakan misi membawa pulang tiga mata ke Kemboja.
Serangan bertalu-talu Svay Rieng FC hampir merobek jaring TFC pada minit ke-30, namun percubaan Costa terkena palang gol.
Ketinggalan 2-0, skuad TFC yang diketuai Muhammad Safawi Rasid mengatur kembali rentak pada babak kedua permainan dan berjaya menghasilkan gol pertama menerusi Manuel Ott pada minit ke-55 untuk merapatkan kedudukan 1-2.
Bagaimanapun, kegembiraan lebih 5,000 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Min Ratanak meledak gol ketiga Svay Rieng FC pada minit ke-86 untuk kembali menjarakkan kedudukan 3-1.
Pada minit ke-90, TFC berhasil menjaringkan gol kedua hasil sepakan percuma yang disempurnakan Safawi Rasid, namun gol tersebut tidak mampu menahan Svay Rieng FC untuk mengutip tiga mata berharga dengan keputusan 3-2.
-- BERNAMA