TFC di kedudukan teratas liga, benam Kelantan 3-0
Bernama
Mei 24, 2024 06:50 MYT
Mei 24, 2024 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) mencatat kemenangan kedua apabila mengutip tiga mata penuh untuk berada di tangga teratas kedudukan Liga Super dengan menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu menyaksikan pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi pemain import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit ke-35.
Jaringan itu dibuat selepas TFC menerima sepakan penalti daripada pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee yang mengesahkan pertahanan KDN FC menjatuhkan Muhammad Safawi Rasid selepas memeriksa video bantuan pengadil (VAR).
KDN FC yang diketuai Oday Kharoub cuba bangkit melakukan serangan balas namun gagal apabila skuad Penyu yang menguasai permainan menggandakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov.
TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner berada di kedudukan selesa apabila Manuel Ott menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 sekali gus menceriakan lebih 13,000 penonton tuan rumah dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat.
Tiga mata diperoleh membawa TFC ke tangga teratas kedudukan Liga Super dengan tujuh mata keseluruhan sekali gus memotong pasukan gergasi Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala KDN FC jatuh tiga anak tangga di kedudukan tercorot tanpa mata.
Sementara itu, satu lagi aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menyaksikan Perak FC mengatasi tuan rumah Kedah Darul Aman FC (KDA) 2-0.
Pemain import Korea Selatan, Lee Tae Min menjadi wira pasukan apabila menghadiahkan dua jaringan pada minit ke-16 dan 76 untuk memberi pasukan pelawat tiga mata untuk melonjak ke tangga keenam daripada kedudukan tercorot manakala Kedah di tangga kedua terakhir carta.
-- BERNAMA