TFC akui peluang ke pentas akhir Piala Malaysia tipis

Bernama
Januari 18, 2025 10:30 MYT
Penjaga gol Terengganu FC Muhammad Rahadiazli Rahalim (kiri) menyelamatkan percubaan gol pemain Johor Darul Ta’zim Bergson Da Silva pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. - Gambar Bernama
KUALA NERUS: Skuad Penyu mengakui peluang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia tipis berikutan kekalahan 0-4 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, kekalahan besar di hadapan lebih 11,000 penyokong di laman sendiri memudarkan impian Terengganu FC (TFC) untuk bergelar finalis seperti musim lepas.
Malah, pengendali berusia 48 tahun itu menyedari tugas lebih sukar menanti anak buahnya apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk perlawanan timbal balik pada 1 Feb depan.
"Peluang ke final tipis sebab kita dah kena 4-0 di tempat sendiri. Di SSI kita tahu memang susah mana-mana pasukan lain nak buat come back dan jaringkan gol.
"Jadi selepas ini kita fokus kepada perlawanan Piala Shopee dahulu pada 22 Jan nanti ... tak mahu fikir lagi pasal perlawanan kedua dengan JDT. Saya harap pemain dapat bersedia dengan cepat kerana tarikh perlawanan semakin dekat," katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang JDT.
Bagaimanapun, di sebalik kekalahan itu, Badrul Afzan memuji persembahan anak buahnya yang berjaya menyaingi JDT pada 70 minit pertama perlawanan sebelum hilang fokus pada akhir babak permainan.
Beliau berkata, pemain telah mempamerkan kesungguhan dan berjuang untuk mendapatkan kemenangan sebagai hadiah kepada penyokong yang hadir.
"Saya puas hati dengan persembahan anak buah yang bermain bersungguh-sungguh. Tetapi kelalaian pada 20 minit terakhir menyebabkan kita dihukum dengan tiga gol di saat akhir.
"Kita ada peluang (jaringkan gol) pada separuh masa pertama dan kedua tetapi pemain tak berjaya gunakan peluang itu," katanya.
Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Selatan Hector Bidoglio berkata, TFC telah memberikan tentangan sengit sebelum pasukannya dapat pulang dengan bekalan selesa.
Justeru, beliau menjangkakan corak permainan lebih menarik daripada skuad Penyu apabila bertemu di perlawanan separuh akhir kedua di SSI. - BERNAMA
#Piala Malaysia #Terengganu FC #JDT #badrul afzan razali
;