Tewaskan Wolves, peluang Liverpool berada dalam kelompok empat teratas kembali cerah
Astro Awani
Mac 16, 2021 08:19 MYT
Mac 16, 2021 08:19 MYT
SELEPAS tewas dalam beberapa perlawanan, peluang Liverpool untuk bersaing merebut tempat dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali cerah setelah menewaskan Wolves 1-0 di Stadium Molineux.
Gol tunggal permainan dijaringkan Diogo Jota yang kembali beraksi selepas lama berehat akibat kecederaan di bahagian lutut, sekali gus membantutkan permulaan cemerlangnya di Anfield.
Gol pertama Jota sejak kembali beraksi itu membolehkan skuad kendalian Jurgen Klopp melonjak ke tangga keenam dan hanya lima mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.
"Yang penting ialah keputusan. Ia perlawanan yang sukar. Kami memperoleh tiga mata yang kotor, saya tidak kisah. Kami perlu kembali ke landasan yang betul," kata Klopp.
Dalam perlawanan tersebut, penjaga gol Wolves, Rui Patricio terpaksa menerima rawatan selepas kepalanya terhantuk dengan rakan sepasukan, Connor Coady.
Sebelum ini penjaring terbanyaknya sepanjang dua musim lalu, Raul Jimenez, terpaksa direhatkan selepas tengkoraknya retak ketika menentang Arsenal pada November.
Ketiadaan Jimenez turut membuatkan anak buah Nuno Espirito Santo lebih terasa dengan kehilangan Jota sejak dia menyertai juara Inggeris itu pada harga 41 juta pound (RM234.33 juta) pada September.