Tewaskan Leon Edwards, Belal Muhammad anak Palestin pertama raih kejuaraan UFC
Haider Yutim
Julai 28, 2024 13:32 MYT
Julai 28, 2024 13:32 MYT
Belal Muhammad berjaya merampas gelaran milik Leon Edwards selepas menewaskan bekas juara welterweight itu dalam aksi UFC 304, pada Ahad.
Ringkasan AI
- = Belal Muhammad berjaya merampas gelaran Leon Edwards dalam UFC 304 dengan keputusan sebulat suara selepas lima pusingan, menjadi petarung MMA berketurunan Palestin pertama yang meraih kejuaraan dunia di UFC.
- Pertarungan ini merupakan ulangan daripada pertarungan pada tahun 2021 yang dianggap tidak sah akibat insiden tercucuk mata. Dengan kemenangan ini, rekod profesional Belal kini menjadi 24-3, manakala Edwards 22-4.
- Belal, yang dilahirkan di Chicago oleh ibu bapa Palestin, dilatih oleh Roberto Ramirez dan Nicasio Sanchez, serta mendapat nasihat dari Khabib Nurmagomedov. Belal sering mengetengahkan isu Palestin dengan membawa bendera negara tersebut dalam setiap pertarungannya.
Acara utama yang berlangsung di Manchester, England, itu menyaksikan Belal menumpaskan Edwards menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas lima pusingan, sekali gus menjadi petarung MMA berketurunan Palestin yang pertama meraih kejuaraan dunia di UFC.
Pertarungan di Co-op Live Arena ini merupakan pertarungan ulangan bagi kedua-dua atlet tersebut.
Pada tahun 2021 lalu, pertarungan antara Edwards dan Belal dianggap tidak sah (no contest) susulan insiden tercucuk mata secara tidak sengaja oleh Edwards yang menyebabkan Belal tidak dapat meneruskan pertarungan.
Dengan kemenangan terbaharu ini, Belal melebarkan rekod profesionalnya kepada 24 kemenangan dan tiga kekalahan (24-3), manakala Edwards pula 22-4.
Sebagai rekod, Belal, 36, dilahirkan dan dibesarkan di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat oleh ibu bapanya yang berketurunan Palestin.
Dia menjalani latihan di bawah bimbingan ketua jurulatih Roberto Ramirez dan Nicasio Sanchez, selain mendapat tips serta nasihat dari legenda MMA dan bintang UFC Khabib Nurmagomedov.
Meskipun menetap di AS, Belal sering dilihat membawa bendera Palestin, malah turut mewakili negara tersebut dalam setiap pertarungannya.
Dia juga sering mengetengahkan isu-isu mengenai jenayah peperangan oleh Israel, serta kekejaman rejim Zionis terhadap anak bangsanya di Palestin.