Tewas KO pada pertarungan lalu, Eddie Alvares kini kembali ke Grand Prix Dunia
Hilmi Ismail
Julai 15, 2019 22:35 MYT
Julai 15, 2019 22:35 MYT
PETARUNG seni bela diri campuran (MMA) dari Amerika Syarikat, Eddie Alvarez kini kembali bersaing di Kejohanan Lightweight Grand Prix Dunia anjuran ONE Championship.
Alvarez sebelum ini gagal mara ke separuh akhir kejohanan Grand Prix itu kerana tewas menerusi 'knockout' (KO) di tangan Timofey Nastyukhin pada Mac lalu.
Nastyukhin dijadualkan untuk bertemu dengan Honorio Banario di saingan separuh akhir namun terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan lutut yang serius.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ONE Championship pada Isnin, pertarungan Nastyukhin vs Banario telah dibatalkan dan ia digantikan dengan pertarungan antara Alvarez dan Eduard Folayang.
Alvarez dan Folayang dijadualkan untuk bertarung pada acara ONE: Dawn of Hereos yang bakal diadakan pada 2 Ogos di Manila, Filipina.
Pertarungan ini boleh dikatakan sebagai peluang kedua bagi menebus kekecewaan dalam pertarungan pertamanya bersama ONE Championship.
Bagi Folayang pula, ia merupakan pertarungan penting selepas dia tewas di tangan Shinya Aoki pada Mac lepas, sekali gus kehilangan gelaran juara lightweight di ONE Championship.
Pemenang 'Alvarez vs Folayang' pula akan mara ke pusingan akhir dan bakal bertemu dengan Saygid Guseyn Arslanaliev pada 13 Oktober depan di Tokyo, Jepun.
#Eddie Alvarez
#Eduard Folayang
#ONE Championship
#ONE Dawn of Hereos
#ONE Lightweight Grand Prix
#seni bela diri campuran
#Shinya Aoki
#Timofey Nastyukhin