Tewas kepada Khabib, Dustin Poirier kini mahu lawan semula McGregor
Haider Yutim
September 10, 2019 07:00 MYT
September 10, 2019 07:00 MYT
SETELAH tewas kepada juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov, Dustin Poirier kini mahu bertarung semula dengan Conor McGregor, selepas kali terakhir bertarung dengannya lima tahun lalu.
Petarung Amerika Syarikat itu sebelum ini memberi bayangan seperti hendak bersara dari sukan seni bela diri campuran (MMA) susulan kekalahannya pada aksi UFC 242, baru-baru ini.
Bagaimanapun, dalam posting terbaharunya di Twitter pada Selasa, Poirier berkata pertarungan ulangan (rematch) dengan McGregor 'masuk akal' buat ketika ini.
“Rasanya, saya dan Conor (lawan) sekali lagi, sangat masuk akal buat ketika ini,” tulisnya.
Untuk rekod, Poirier dan McGregor pernah bertemu pada September 2014 dalam acara UFC 178.
Keputusan itu menyaksikan Poirier ditundukkan oleh jaguh Ireland itu menerusi TKO pada minit 1:46 pusingan pertama.
Sejak dari itu, kedua-dua petarung tidak pernah lagi bertembung.
Ia juga merupakan kali terakhir Poirier berlawan dalam divisyen featherweight sebelum beralih ke divisyen lightweight.
Ahad lalu, Khabib berjaya mengekalkan takhta kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan Poirier selaku juara interim lightweight menerusi kuncian 'rear naked choke' pada minit 2:06 pusingan ketiga.
Keputusan pertarungan yang menentukan siapa juara sebenar lightweight ini sekali gus melebarkan rekod profesional bintang Rusia itu kepada 28 kemenangan tanpa kalah.
#Conor McGregor
#Dustin Poirier
#juara lightweight UFC
#Khabib Nurmagomedov
#Mixed Martial Arts
#MMA
#seni bela diri campuran
#UFC
#UFC 242
#UFC Lightweight