Tewas di UFC, Brock Lesnar tebus kekalahan dengan Cain Velasquez di WWE

Haider Yutim
November 1, 2019 21:51 MYT
Brock Lesnar mengekalkan kejuaraan WWE yang disandangnya selepas menumpaskan Cain Velasquez. - Foto Instagram/@WWE
SELEPAS hampir sedekad, juara WWE Brock Lesnar akhirnya berjaya menebus kekalahannya dengan Cain Velasquez apabila dengan mudah menumpaskan bekas juara heavyweight UFC itu dalam hanya 88 saat.
Acara WWE Crown Jewel yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Raja Fahd, Arab Saudi pada Khamis itu menyaksikan Velasquez dikalahkan menerusi kuncian 'kimura'.
Dengan keputusan itu, Lesnar turut berjaya mengekalkan kejuaraan WWE yang disandangnya.
Untuk rekod, ini merupakan perlawanan ulangan (rematch) Lesnar dengan Velasquez, di mana kali terakhir mereka bertemu ialah pada acara UFC 121 di Anaheim, California, Amerika Syarikat.
Acara itu menyaksikan Velasquez merampas kejuaraan heavyweight UFC dari Lesnar menerusi TKO pada pusingan pertama.
Namun, pertarungan tersebut merupakan pertarungan seni bela diri campuran (MMA) dan kini mereka bertemu pula dalam gelanggang gusti profesional di WWE.
Velasquez yang telah bersara dari MMA, telah menyertai organisasi gusti terbesar dunia itu pada bulan lalu.
Pernah memegang takhta kejuaraan heavyweight UFC sebanyak dua kali, petarung Amerika Syarikat itu bersara dengan rekod profesional MMA, 14-3.
#Arab Saudi #bekas juara heavyweight UFC #Brock Lesnar #Cain Velasquez #juara WWE #MMA #UFC #UFC 121 #WWE #WWE Crown Jewel
;