'Terus kuat Faisal Halim ...' - Chong Wei
Astro Awani
Jun 14, 2024 17:31 MYT
Jun 14, 2024 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Semangat dan solidariti untuk pemain Selangor FC, Faisal Halim dari komuniti sukan negara masih berterusan sehingga saat ini.
Terbaharu, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menzahirkan sokongan terhadap Faisal.
Chong Wei dalam catatan terbaharu di Facebook beliau percaya tonggak lincah Harimau Malaysia berusia 26 tahun itu akan kembali bangkit lebih kuat selepas ini.
“Terus kuat Faisal Halim. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Anda akan kembali bangkit dengan lebih kuat. Sabar dan percaya. Fokus kepada proses pemulihan dan kami semua menunggu kepulangan anda,” tulis Chong Wei di Facebook miliknya.
Faisal yang merupakan bekas tonggak Terengganu FC itu membuat kemunculan pertama menerusi satu sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada Khamis.
Pemain berasal dari Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu dipercayai menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah pada 5 Mei lalu yang menyaksikan dia terpaksa mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital sebelum dibenarkan keluar hospital 25 Mei lalu.