Terry, Spartak Moscow tiada jodoh

Astro Arena
September 13, 2018 09:54 MYT
Terry tidak mewakili sebarang kelab sejak meninggalkan Aston Villa pada akhir musim lalu. - Astro Arena
BEKAS kapten Chelsea dan England, John Terry, menolak tawaran kelab Liga Perdana Russia, Spartak Moscow.
Terry tidak mewakili sebarang kelab sejak meninggalkan Aston Villa pada akhir musim lalu tetapi mengadakan rundingan dengan Spartak sepanjang minggu lalu.
Pemain berusia 37 tahun itu terbang ke Rom untuk menjalani rawatan perubatan pada hari Jumaat lalu dan ditawarkan kontrak bernilai £3 juta (RM16.2j) setahun.
Bagaimanapun, Terry mengeluarkan satu kenyataan di Instagramnya untuk mengesahkan bahawa dia memutuskan untuk menolak tawaran ke ibu kota Russia itu selepas berbincang dengan keluarganya.
"Selepas fikir semasak-masaknya, saya memutuskan untuk menolak tawaran daripada Spartak Moscow," katanya dalam kenyataan tersebut.
"Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Spartak dan mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan penyokong mereka untuk sepanjang musim ini.
"Mereka merupakan kelab yang bercita-cita tinggi dan saya sangat kagum dengan profesionalisme mereka.
"Tetapi, selepas menilai langkah ini bersama keluarga, kami memutuskan bahawa ini bukan langkah yang tepat untuk kami pada masa ini.
"Semoga berjaya Spartak."
Terry telah membuat lebih 700 penampilan bersama Chelsea dengan memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum mengakhiri kerjayanya di Stamford Bridge pada akhir musim 2017.
Dia membantu Villa dalam aksi play-off Liga Kejuaraan musim lalu untuk dinaikkan pangkat di samping Fulham.
#bola sepak #john terry #liga perdana russia #spartak moscow
;