Terry, Chelsea raih tempat ketiga di Terbuka ASEAN Festival NX113
Bernama
Jun 4, 2024 08:15 MYT
Jun 4, 2024 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Dua atlet negara iaitu Terry Chong dan Chelsea Lee masing-masing meraih tempat ketiga bagi acara utama 5 kilometer (km) lelaki dan wanita Kejohanan Renang Perairan Terbuka ASEAN Festival NX113 yang berlangsung di Tasik Putrajaya, pada Ahad.
Terry merekodkan satu jam 27 minit 27 saat (s) untuk menamatkan saingan di belakang perenang Indonesia, Muhamad Abhinaya Putrawan dari Indonesia yang muncul juara dengan mencatatkan 1:13:22s manakala rakan senegaranya Enrico Abishua di tempat kedua dengan 1:17:23s.
Sementara itu, Chelsea melengkapkan kedudukan tiga teratas bagi saingan wanita dengan catatan 1:20:37s, selepas dua perenang wanita Indonesia iaitu Virgin Silvia Natan dan Naurah Chalisa Adeputri masing-masing merekodkan 1:14:55s dan 1:19:10s untuk berada di tempat pertama dan kedua.
Chelsea yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan renang Maraton Thames 13km di England pada 11 Ogos, teruja melihat kejohanan kali ini mendapat sambutan menggalakkan.
"Saya telah bertanding dalam banyak perlumbaan, namun setiap satunya sentiasa memberi satu pengalaman baharu dan menjadikan saya seorang perenang yang lebih baik," katanya.
Kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan ASEANHUB selain mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur.
-- BERNAMA