'Terpulang kepada FAM' - Ong Kim Swee

Astro Arena
Oktober 15, 2015 07:30 MYT
Kim Swee akui tidak menghantar sebarang permohonan semula untuk kedudukan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara. - Foto BERNAMA
Pengendali sementara skuad bolasepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee harap situasi membabitkan dirinya mampu diselesaikan secepat mungkin.
Kedudukan Kim Swee ketika ini jadi tanda tanya berikutan dia hanya ditawarkan jawatan sebagai pemangku jurulatih skuad senior kebangsaan.
Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini sedang meneliti calon yang sesuai bagi tugas berkenaan dengan beberapa individu jadi pilihan.
Bagaimanapun Kim Swee turut punyai kelebihan yang tersendiri dan menyerahkan kepada FAM untuk buat penilaian.
"Itu terpulang kepada FAM, kita dah mempunyai perbincangan dan saya rasa perkara ini mereka akan ketengahkan secepat mungkin dan saya harap sesuatu dapat dilakukan demi hala tuju pasukan negara," katanya.
Kim Swee ditemui di KLIA pada Rabu selepas skuad negara pulang daripada kempen kelayakan Piala Dunia dan Asia menentang Timor Leste.
Dalam pada itu, Kim Swee akui tidak menghantar sebarang permohonan semula untuk kedudukan jurulatih skuad bawah 23 tahun negara.
Malah beliau juga terpaksa menangguhkan beberapa tawaran yang telah diterima.
"Belum lagi, saya tak menghantar sebarang permohonan di mana buat masa ini saya diarahkan untuk menjadi pengendali sementara hingga Disember. Jadi tentang permohonan itu saya akan biarkan pihak pengurusan untuk menentukan.
"Tawaran terpaksa ditangguhkan dahulu oleh kerana saya ada tugasan negara, jadi saya harap saya dapat buat keputusan dalam masa terdekat," tambahnya.
#bola sepak #FAM #harimau Malaya #Ong Kim Swee
;