Terjunan tak menjadi, semangat setiakawan atlet Filipina dipuji
Madiha Abdullah
Jun 12, 2015 17:13 MYT
Jun 12, 2015 17:13 MYT
SEBUAH video terjunan tidak menjadi melibatkan penerjun Filipina di Sukan SEA menjadi viral sejak semalam.
Video tersebut menunjukkan penerjun Filipina, John Elmerson Fabriga yang mengambil bahagian dalam acara tiga meter papan anjal (lelaki), gagal membuat jatuhan yang baik dalam terjunan keempat itu.
Apa yang menarik, rakan senegara Fabriga, John David Pahoyo, membuat kesilapan yang sama ketika melakukan terjunan, dan ia dikatakan dibuat kerana tidak mahu Fabriga menanggung malu seorang diri.
Kedua-dua mereka gagal mendapat sebarang poin daripada pengadil untuk terjunan tersebut.
Baik Fabrigo dan Pahoyo, kedua-duanya menerima keadaan tersebut apabila saling mentertawakan satu sama lain.
Walaupun ramai yang mentertawakan mereka, namun di laman sosial, Fabriga dan Pahoyo menerima komen-komen positif yang bukan setakat memberikan mereka kata-kata positif, tetapi turut memuji semangat setiakawan mereka.
Pun begitu, Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina, Richie Garcia, nampaknya tidak gembira dengan situasi ini.
"Saya mahu Presiden Kesatuan Renang Filipina memberi penjelasan, kerana dia yang memilih dua atlet itu untuk mewakili Filipina," kata Garcia.