Terjun Siri Piala Dunia: Gandingan Pandelela-Mun Yee tidak menjadi
Astro Arena
April 16, 2016 20:49 MYT
April 16, 2016 20:49 MYT
PENERJUN negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, terlepas meraih pingat selepas menamatkan saingan 10m platform seirama di tangga keempat dalam Kejohanan Terjun Siri Piala Dunia di Windsor, Kanada.
Pandelela dan Mun Yee hanya berjaya menaiki podium sekali, iaitu dalam siri pertama di Beijing, awal bulan lalu.
Selepas dua terjunan awal di Windsor, pasangan negara ini berada di kedudukan ketiga dengan 100.20 mata.
Pertunjukan terbaik Pandelela dan Mun Yee hadir dalam terjunan ketiga dengan mereka berjaya mengumpul sejumlah 72 mata untuk terus kekal di tempat ketiga.
Bagaimanapun, kesilapan Pandelela dalam terjunan keempat menyaksikan mereka hanya memperoleh 44.16 mata, sekali gus jatuh ke tangga keempat.
Walaupun cuba bangkit dalam terjunan terakhir, ia tidak cukup untuk mengatasi pasangan Great Britain, Tonia Couch dan Lois Toulson, yang berjaya memastikan pingat gangsa milik mereka.
Perak dimenangi gandingan tuan rumah manakala pasangan China, Chen Ruo Lin/Liu Hui Xia tiada tandingan cemerlang untuk merangkul pingat emas.