Terjun Piala Asia: Pandelela-Mun Yee tarik diri

Bernama
September 7, 2019 18:55 MYT
Menurut Pandelela, dia mula terasa sakit pagi tadi, bagaimanapun, tidak menghiraukannya dan meneruskan penyertaan. - AP
Pasangan terjun wanita negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, menarik diri daripada acara 10 meter platform seirama wanita dalam Kejohanan Terjun Piala Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini gara-gara kecederaan belakang Pandelela.
Menurut Pandelela, dia mula terasa sakit pagi tadi, bagaimanapun, tidak menghiraukannya dan meneruskan penyertaan.
Namun, selepas dua terjunan, impak air menyebabkan ia semakin sakit.
"Selepas berbincang dengan jurulatih, saya rasa lebih baik berhenti untuk tidak menyebabkan ia bertambah teruk, jadi kami mengambil keputusan untuk menarik diri daripada acara tersebut,” katanya.
"Ia kecederaan belakang yang sama, agak sedih ia datang kembali secara tiba-tiba pagi ini.
"Tetapi selepas rehat beberapa hari, saya rasa ia sepatutnya kembali OK,” jelasnya.
Untuk rekod, pemenang pingat Sukan Olimpik itu telah mengalami kecederaan belakang sejak 2015, yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan termasuk Sukan Asia Indonesia tahun lalu.
Sementara itu, acara berkenaan yang disertai dua negara, iaitu Malaysia dan Korea Utara, menjadi kontroversi apabila ‘tiada pemenang’ diisytiharkan selepas penganjur mendapati terdapat kesilapan teknikal melibatkan pasangan dari Korea Utara.
Pegawai Teknikal Piala Asia, Tony Koh Kok Beng, menjelaskan salah seorang daripada penerjun Korea Utara yang mengambil bahagian dalam acara pagi ini dipercayai tidak berada dalam senarai penerjun yang didaftarkan.
"Ketika acara sedang dipertandingkan, pegawai teknikal mendapati salah seorang penerjun tidak ada dalam senarai,” katanya dan menambah mengikut peraturan FINA, penerjun itu dibatalkan penyertaannya.
"Hanya terdapat dua pasukan sahaja yang menyertai acara ini.
"Disebabkan pasukan Korea Utara telah dibatalkan penyertaan dan pasukan Malaysia menarik diri, ini bermakna tidak ada pemenang bagi acara ini," katanya lagi.
Sementara itu, biarpun merangkul pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal individu wanita, penerjun muda negara, Ong Ker Ying, masih belum berpuas hati dengan prestasinya.
Atlet berusia 17 tahun itu, yang kali pertama bertanding dalam Kejohanan Terjun Piala Asia, menyifatkan penampilannya hari ini bukan yang terbaik.
"Terjunan tadi bukan paling bagus sebab ini Piala Asia pertama saya, jadi agak gemuruh.
"Saya kurang berpuas hati dengan terjunan tadi.
"Saya kena perbaiki dan buat latihan lebih banyak," katanya.
Ker Ying mengumpul 215.35 mata untuk mengatasi rakan senegara, Jasmine Lai Pui Yee, yang meraih 212.20 mata.
Penerjun Indonesia, Linadini Yasmin, memenangi pingat gangsa selepas memperoleh 153.65 mata.
-- BERNAMA
#Bukit Jalil #kejiohanan terjun #Leong Mun Yee #Pandelela Rinong #pandelela tarik diri #Piala Asia #pusat akuatik nasional #sakit belakang #tarik diri
;