'Terima kasih TMJ, JDT untuk tujuh tahun'

Astro Arena
Februari 28, 2025 09:45 MYT
Haziq Nadzli tidak lagi memegang status sebagai pemain pinjaman Harimau Selatan susulan dibenarkan beraksi berdepan JDT, Isnin lalu.
PENJAGA gol Utama Perak, Haziq Nadzli, mengucapkan terima kasih buat Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tujuh tahun bersama kelab itu.
Mengikut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, difahamkan pemain berusia 27 tahun itu tidak lagi memegang status sebagai pemain pinjaman Harimau Selatan susulan dibenarkan beraksi berdepan JDT, Isnin lalu.
Malah, dia turut menjadi watak penting ketika membantu The Bos Gaurus daripada dibolosi dengan banyak jaringan ketika tewas 0-2 kepada juara Liga Super kali ke-11 tahun berturut-turut itu di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini.
"Terima kasih JDT untuk tujuh tahun yang sangat berharga buat diri saya, terima kasih kerana membantu untuk meningkatkan cara permainan saya.
"Banyak perkara baru yang saya belajar untuk diri dan prestasi saya, dan yang paling penting saya nak ucap jutaan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor yang banyak membantu dan menyokong saya dari segi prestasi dan juga mentaliti saya, Junjung Kasih Tunku." katanya menerusi laman Instagram. - Stadium Astro
#JDT #TMJ #Haziq Nadzli #Liga Super
;