Terima kasih Kevin Ray Mendoza
Astro Arena
November 27, 2023 11:00 MYT
November 27, 2023 11:00 MYT
PENJAGA gol, Kevin Ray Mendoza, mengucapkan selamat tinggal kepada KL City FC selepas mereka merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan United semalam.
Menyertai KL City pada 2021, pemain kelahiran Filipina itu telah membuat 69 penampilan, termasuk 17 kali dalam saingan musim ini.
Kelibatnya bertindak selaku 'shot stopper' The City Boys telah membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia (2021), naib juara Piala AFC (2022) dan naib juara Piala FA (2023).
Dalam perlawanan yang berlangsung semalam di Cheras, KL City membuka jaringan menerusi Matko Zirdum sebelum Paulo Josue dan Tchetche Kipre memastikan kemenangan memihak tuan rumah.
Selepas tamat perlawanan, pihak pengurusan pasukan mengumumkan bahawa Kevin bakal meninggalkan kelab bagi menghadapi cabaran baharu dengan terdapat bayangan dia bakal berkelana ke Indonesia bersama Persib Bandung, pasukan yang dikendali oleh bekas jurulatih KL City Bojan Hodak.