Terima kasih Harimau Malaya - Penyokong Malaysia

Hasimi Muhamad
November 19, 2019 06:18 MYT
Pemain Malaysia Mohamadou Sumareh mengasak pertahanan Indonesia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. --fotoBERNAMA
Di sebalik provokasi yang berlaku pada perlawanan antara Malaysia dan Indonesia malam tadi, penyokong skuad negara bagaimanapun memaklumkan ia tidak menjejaskan prestasi yang dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe.
Rata-rata mereka yang ditemui selepas tamat aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyifatkan perlawanan tersebut sebagai cukup menarik, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemain negara.
Mohd Zaimi Zainal, 25 tahun, berkata, skuad Harimau Malaya perlu mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan kejayaan berpihak kepada pasukan negara dalam pertemuan dengan Vietnam, yang dijadual pada Mac 2020.
“Saya memang seronok malam ini (Selasa), sememangnya permainan malam ini cukup menarik, tambahan pula apabila dua jaringan gol berjaya diperolehi skuad negara.
“Kita memang puas hati walaupun stadium digamatkan (dengan insiden provokasi) namun perlawanan memang menyeronokkan,” katanya kepada Astro AWANI.
Sementara Mohd Faizal Amin, 30 tahun, berkata beberapa pemain Malaysia dilihat kurang menyerlah pada perlawanan tersebut, namun mujurlah perkara itu tidak memberi kesan kepada keseluruhan aksi skuad negara.
“Kalau yang terbaik pada malam ini memang (Muhammad) Safawi Rashid. Tetapi aksi seperti (Muhammad) Akhyar Rashid dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kurang menjadi sedikit,” katanya.
Mohd Naqiuddin Ahmad, 31 tahun, pula berkata: “Perlawanan yang sangat menarik walaupun ada tekanan daripada pihak lawan.
“Indonesia nampak agak tertekan dengan permainan taktikal pada malam ini. Terima kasih untuk para pemain dan jurulatih,” tambahnya.
BACA: Harimau Malaya benamkan Garuda
BACA: Kekecohan berlaku di luar stadium, beberapa individu ditahan
BACA: Suar dibakar sebaik jaringan gol pertama Malaysia
Pada perlawanan tersebut, Malaysia berjaya menumpaskan Indonesia 2-0.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan kutipan selepas menamatkan lima perlawanan.
Keputusan ini juga mencerahkan peluang ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.
Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadual berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.
#bola sepak #Bukit Jalil #China #Dubai #harimau Malaya #Indonesia #Kuala Lumpur #Malaysia #Piala Asia 2023 #Piala Dunia #Piala Dunia 2022 #provokasi #UAE #Vietnam
;