Terima kasih Ayu Raudhah, jatuh bangun saya hanya dia yang tahu - Zaquan Adha
Essan Yahya
Disember 6, 2018 14:14 MYT
Disember 6, 2018 14:14 MYT
KAPTEN Skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Radzak menzahirkan ucapan terima kasih secara peribadi kepada isteri tercinta, Ayu Raudhah atas sokongan dan sentiasa memahami selama ini.
"Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada mak tanpa doa mak sesuatu kejayaan itu tidak dapat diperolehi.
"Dan juga untuk isteri saya yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya, dari awal jatuh bangun saya, hanya isteri saya yang tahu", katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Zaquan menyifatkan sokongan rakyat Malaysia sebagai sumber kekuatan utama untuk Malaysia berjaya melangkah ke aksi final Piala AFF Suzuki 2018.
"Kepada seluruh penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia, kami terus mengharapkan sokongan daripada anda pada final nanti.... jika stadium penuh dibanjiri seluruh rakyat Malaysia, ia memberi semangat untuk kami terus berjuang dalam bola sepak... untuk final kali ini, pasukan kami tidak kuat tanpa sokongan rakyat Malaysia.
"Alhamdulillah... saya rasa satu rezeki untuk pasukan malaysia dalam situasi yang amat menggetirkan malam tadi... kita hampir tewas pada saat akhir, tapi untuk kami kalau rezeki itu tak ke mana... bagaimanapun misi itu masih belum habis, kita masih ada misi untuk kejar di final nanti".
Zaquan juga menzahirkan rasa bangga dengan semangat rakan rakan lain kerana dari minit awal hingga akhir mereka bermain mati-matian dan menganggap permainan malam tadi adalah satu perjuangan pasukan yang amat amat perlu dihargai.
Kelebihan jaringan gol di tempat lawan membolehkan Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki meskipun terikat 2-2 pada Rabu malam.
Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam ataupun Filipina di final nanti, namun ia bergantung pada siapa yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir pada Khamis.
#Ayu Raudhah
#bola sepak
#Harimau Malaysia
#penyokong bola sepak
#perlawanan akhir
#Piala AFF Suzuki 2018
#Zaquan Adha Radzak