Terengganu tukar pertahanan import

Astro Arena
Mei 29, 2019 00:00 MYT
Luis Gustavo disahkan akan menyarung jersi hitam putih TFC menggantikan pemain Serbia, Igor Zonjic, dalam baki saingan musim ini. - Foto TFC
TERENGGANU FC (TFC) membuat pertukaran pemain import pada hari terakhir jendela perpindahan yang menyaksikan kehadiran pertahanan Brazil, Luis Gustavo Camilo.
Pemain berusia 27 tahun itu disahkan akan menyarung jersi hitam putih TFC menggantikan pemain Serbia, Igor Zonjic, dalam baki saingan musim ini.
Memulakan karier bersama kelab remaja terkemuka Brazil, Fluminense, Camilo kemudian berkelana ke beberapa kelab, antaranya Beira Mar dan Estoril di Portugal.
Camilo seterusnya beraksi dalam Liga Bahrain bersama Manama Club pada 2017 sebelum kelab Serie D Brazil, Ferroviaria, menjadi kelab terakhirnya.
"Camilo dijangka tiba di Terengganu pada bulan Jun dan menyertai latihan sebelum saingan Liga Super kembali bersambung," kata satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini.
Sementara itu, nasib seorang lagi pemain import TFC, Thiery Chantha Bin, dijangka selamat walaupun beberapa pemain Asean menjadi perhatian dalam media sosial.
Antara yang disebut-sebut adalah pemain Ceres-Negres FC dalam Liga Filipina, Carli de Murga dan Kevin Ingreso yang berdarah Jerman.
#Luis Gustavo Camilo #pertahanan Brazil #pertahanan import #Terengganu FC #TFC
;