Terengganu sekat hajat KL City, penalti Indra Putra hampakan Perak
Bernama
Julai 7, 2023 06:45 MYT
Julai 7, 2023 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) berjaya menyekat hasrat Kuala Lumpur (KL) City FC daripada meraih tiga mata selepas bangkit mengikat perlawanan 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.
Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum TFC terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Omid Nazari pada minit ke-28, namun pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-36.
Jaringan penyamaan Gallifuoco ternyata membakar moral pasukan apabila berjaya memperoleh gol kedua enam minit kemudian selepas ketua pasukan Paulo Jouse meledak jaringan peribadi ketujuhnya musim ini pada minit ke-42.
Seakan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-1, skuad bimbingan Bojan Hodak menambah derita TFC apabila Romel Morales meledak gol ketiga skuad Warga Kota pada masa kecederaan sekali gus menambah tekanan terhadap pelawat.
Bagaimanapun, sangkaan KL City akan terus menguasai permainan meleset apabila TFC bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit di awal babak kedua, masing-masing menerusi Mohammad Nor Hakim Hassan pada minit ke-50 dan Ivan Mamut (minit ke-60).
Di penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan selepas Mamut dan pemain gantian KL City Muhammad Haqimi Azim Rosli, gagal memanfaatkan peluang terhidang di depan gawang.
TFC dan KL City masing-masing berada di kedudukan keenam dan ketujuh liga berkongsi 24 mata usai 16 perlawanan.
Sementara itu, jaringan penyamaan ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin menerusi sepakan penalti pada penghujung separuh masa kedua menghadiahkan satu mata buat Kelantan United FC yang seri 1-1 ketika bertemu Perak FC dalam satu lagi aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
Terdahulu, skuad tuan rumah yang dibimbing Yusri Che Lah mendahului seawal minit kesembilan hasil tandukan Sunday Afolabi yang bijak meloloskan diri daripada kawalan pemain pertahanan lawan untuk menyambut sepakan penjuru.
Kelantan United menyamakan kedudukan menerusi penalti yang disempurnakan Indra Putra pada minit ke-84 selepas Akinade Ismaheel dijatuhkan.
Keputusan seri itu membolehkan Kelantan United naik satu anak tangga ke posisi ke-12 dengan mengumpul tujuh mata sementara Perak kekal di tangga ke-11 dengan kutipan 10 mata. - BERNAMA