Terengganu kutip mata penuh selepas menewaskan Pahang 2-0
Astro Awani
Februari 16, 2014 12:58 MYT
Februari 16, 2014 12:58 MYT
Terengganu mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Pahang 2-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.
Rentak permainan anak buah Abdul Rahman Ibrahim menyaksikan serangan bertali arus diatur dari pelbagai sudut namun barisan serangan gagal membuat penyudah.
Serangan digandakan dan tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-20 hasil jaringan penyerang impot Marco Karlovic.
Terengganu terus meningkatkan tekanan namun banteng pertahanan Pahang kukuh mengekang serangan.
Masuk babak kedua Pahang memasukkan Dickson Nwakame untuk mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun banteng pertahanan Terengganu yang diterajui Zubir Azmi dan Vincent Bikana kebal bertahan membenteng serangan Tok Gajah.
Terengganu menambah jaringan pada minit ke-69 menerusi rembatan Ismail Faruqi Ashaari hasil hantaran Norfarhan Mohamad yang melepasi perangkap ‘offside’.
Taman permainan Terengganu 2, Pahang 0.
Ketua jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim nyata gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan barisan pemainnya.
Menurutnya semangat sepasukan yang dipamirkan amat menyerlah dan perancangan taktikal membuahkan hasil dalam usaha memastikan kemenangan di laman sendiri.
“Daripada segi persembahan dan juga kesungguhan pemain-pemain kita yang saya rasa bermain bermati-matian mala mini. Mengikut arahan taktikal pendekatan kami adalah baik dan akhirnya dapat bermain dengan sempurna dan mendapat jaringkan 2 buah gol,” tambah Abdul Rahman.
Sementara itu ketua jurulatih Pahang Ronald Arthur Smith menyifatkan pertemuan dengan Terengganu adalah hari malang bagi mereka apabila segala gerakan serangan yang diatur serba tidak menjadi.
Menurutnya semua pemain memberikan komitmen yang tinggi namun mereka gagal menembusi kubu pertahanan Terengganu hingga ke wisel penamat.
“Semua pemain berusaha bersungguh-sungguh mala mini tetapi itulah bolasepak. Kadangkala nasib tidak menyebelahi kami. Hari ini adalah hari yang malang bagi pasukan kami. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana pemain juga kecewa dengan kekalahan serta beraksi di bawah tahap sebenar,” tambah Ronald.