Terengganu juara keseluruhan Sukma ke-19 Perak
Bernama
September 22, 2018 00:01 MYT
September 22, 2018 00:01 MYT
Kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak selepas berjaya mengumpul 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.
Ini merupakan kali kelima kontinjen dari Pantai Timur itu merangkul gelaran juara keseluruhan Sukma, kejuaraan sebelum ini dilakar pada 2008 di Kuala Terengganu, 2010 di Melaka, 2011 di Pahang dan 2012 di Kuala Lumpur.
Stadium Perak dibuka seawal pukul 5 petang, dengan orang ramai berpusu-pusu memasuki stadium dan mengambil tempat duduk masing-masing menantikan debaran upacara penutupan.
Beberapa persembahan disajikan seperti persembahan akrobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), persembahan artis bukan melayu dan beberapa pemuzik tempatan sementara menunggu ketibaan tetamu kehormat.
Anggota kontinjen negeri yang semuanya berjumlah hampir 6,000 atlet dan pegawai, mula memasuki stadium pada pukul 7 malam dengan diiringi dentuman dan kilauan cahaya menyinari ruang angkasa stadium.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mula memasuki ke stadium kira-kira sejam kemudian dengan diiringi Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada Olahragawan dan Olahragawati Sukma Perak 2018, Eugenius Lo Foh Soon dan Azreen Nabila Alias.
Selepas ucapan penutupan oleh timbalan perdana menteri, bendera Sukma diturunkan diiringi dengan lagu tema Sukma dan kemudian diserah kepada wakil dari Johor, Menteri Besar Datuk Osman Sapian selaku tuan rumah Sukma 2020.
Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan dari Johor, sebagai acara tradisi secara simboliknya mengalu-alukan ketibaan temasya dwitahunan itu di negeri berkenaan.
Majlis berakhir dengan pertunjukan bunga api selama beberapa minit sebelum semua tetamu kehormat beredar meninggalkan majlis.
-- BERNAMA
#juara keseluruhan
#kontinjen Terengganu
#Perak
#Sukan Malaysia
#SUKMA
#terengganu
#Wan Azizah Wan Ismail