Terengganu hantar 600 pegawai dan atlet ke Sukma Sarawak 2016
Bernama
Julai 8, 2016 12:25 MYT
Julai 8, 2016 12:25 MYT
Terengganu akan menghantar 600 pegawai dan atlet untuk menyertai Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak, dari 22 hingga 31 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata mereka akan mengambil bahagian dalam 24 jenis sukan dalam temasya dwitahunan itu.
"Kontinjen sudah bersiap sedia untuk berangkat ke Sarawak selepas Aidilfitri ini yang mana atlet dan pegawai akan dihantar secara berperingkat mengikut jadual dan lokasi kejohanan.
"Ada yang akan dihantar ke Kuching, Sibu dan Miri secara berperingkat bermula 17 Julai ini," katanya.
Rozi berkata kontinjen Terengganu menyasarkan 121 pingat membabitkan 52 pingat emas, 28 perak dan 41 gangsa pada Sukma kali ini.