Terengganu FC semakin merapat dengan JDT selepas tumpaskan Sri Pahang FC

Bernama
Ogos 7, 2021 05:24 MYT
Skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain import David Da Silva. - Facebook Terengganu FC
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) semakin hampir untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu carta Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) setelah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain import David Da Silva bagi meletakkan pasukan itu di depan.
Skuad Penyu tidak menunggu lama menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan Faisal Abdul Halim menambah jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-24.
Dengan kemenangan pada malam tadi, Skuad Penyu menduduki tangga kedua carta Liga Super dengan 37 mata di belakang JDT yang berada di kedudukan teratas dengan 42 mata.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini menyaksikan Kuala Lumpur City FC membawa bekalan tiga mata penuh selepas menundukkan Petaling Jaya City FC 1-0 hasil jaringan Paulo Josue pada minit ke-31.
Sementara itu pertemuan Penang FC menentang Melaka United berkesudahan dengan keputusan pasukan tuan rumah menang 2-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam tadi.
Jaringan sulung pasukan tuan rumah pada minit ke-75 disumbang melalui sepakan penalti Rafael Vitor dan Sheriddin Boboev berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan sebelum perlawanan berakhir sementara gol tunggal Melaka United FC hadir menerusi Giovane Gomes pada minit ke-89.
Bagi aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pula menyaksikan UiTM FC meraih kemenangan sulung Liga Super malam tadi apabila menewaskan Perak FC, 2-0.
Gol dijaringkan Sean Gan Giannelli pada minit ke-29 sebelum Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi memastikan kemenangan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-73.
Di Kuching dalam aksi Liga Premier, Sarawak United yang bertemu Kelantan FC menang 3-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Negeri.
Perlawanan antara Selangor FC II dengan Perak FC II pula berakhir dengan keputusan 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sementara aksi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menyaksikan pasukan itu berpesta gol menewaskan skuad Projek FAM-MSN 5-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.
--BERNAMA
#Liga Premier #Liga Super #penalti #Terengganu FC #JDT #Sri Pahang FC #David Da Silva
;