Terengganu benam Penang 3-0, hidupkan peluang ke Piala AFC
Bernama
September 14, 2022 05:15 MYT
September 14, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) membuktikan tidak terjejas walaupun terlepas menjulang Piala FA 2022 apabila bangkit menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus memastikan skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain kekal dalam perebutan slot ke Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) 2023, sebagai tiga pasukan terbaik dalam liga musim ini.
Pada aksi berlangsung dalam hujan lebat itu, skuad Penyu membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak dekat pemain sayap lincah Muhammad Faisal Halim pada minit ke-37, yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
TFC kemudian menggandakan jaringan di hadapan hampir 4,000 penonton menerusi tandukan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre sebelum tamat babak pertama perlawanan.
Tchetche menambah derita skuad Harimau Kumbang apabila meledak jaringan kedua peribadinya pada masa tambahan.
Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Selangor FC dalam satu lagi aksi liga di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Skuad Sang Kenari mendahului menerusi jaringan pemain import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja yang menguis masuk bola sepakan percuma Mahmoud Nayef Ahmad Almardi pada minit ke-22 dan tandukan pemain pertahanan dari Andorra, Marcos Vales Gonzalez pada minit ke-30.
Skuad Gergasi Merah cuba mengejar menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Herlison Caion pada minit ke-33, namun KDA kembali melebarkan jurang hasil jaringan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada masa tambahan.
Keputusan malam tadi menyaksikan TFC kekal di kedudukan keempat dengan 32 mata selepas 18 perlawanan, di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang telah mengumpul 42 mata dengan kelebihan dua perlawanan, Sabah (36) dan Negeri Sembilan (35).
Dengan JDT dijangka muncul juara Liga Super 2022 untuk menyambar slot ke Liga Juara-juara AFC, pasukan di kedudukan kedua dan ketiga liga berpeluang untuk beraksi di Piala AFC, iaitu saingan tahap kedua benua ini.
Skuad Harimau Selatan telah meraih slot ke Piala AFC selaku juara Piala FA dengan menewaskan TFC 3-1 pada Sabtu lepas.
-- BERNAMA