'Terdapat atlet tempatan guna bahan terlarang'
Syafique Shuib
Januari 19, 2013 12:27 MYT
Januari 19, 2013 12:27 MYT
Ketua Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata ujian yang telah dilakukan dikalangan atlet tempatan ada menunjukkan kes-kes positif penggunaan bahan terlarang.
“Tanda-tandanya memang ada. Namun sejak kebelakangan ini, terdapat atlet yang mahu lari dari diuji,” kata Dr. Ramlan yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Institut Sukan Negara.
Namun Dr Ramlan, yang juga penasihat kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tidak mahu jari ditunding kepada atlet sahaja.
“Selalunya, kita tengok atlet diuji positif dan mereka diberi hukuman. Namun, kami selalu mensyaki sesuatu kerana ada orang lain yang memudahkan cara pengambilan, memberi pertolongan atau memaksa mereka dalam gejala 'doping' ini.
Kita tidak boleh lihat dari satu segi sahaja. Kita perlu tengok secara menyeluruh dan beri penekanan yang sewajarnya."
Tambah beliau terdapat "pegawai-pegawai tertentu" yang melindungi atlet-atlet, bersekongkol dan bersubahat bersama atlet seolah-olah menyokong tindakan mereka untuk lari atau mengelak dari diuji.
“Peranan jurulatih dan peranan orang-orang yang lain seperti doktor perubatan, physioetherapist, massage therapist dan orang yang jaga pemakanan perlu diambil kira. Adakah mereka terbabit? Jangan abaikan kita peranan orang lain yang turut serta bersama atlet. Ini akan mengambil masa dan penelitian yang rapi” tambah beliau.
Ketika ini, terdapat beberapa kepayahan yang dialami Adamas ketika ini selepas akreditasi makmal di Universiti Sains Malaysia ditarik balik untuk melakukan ujian air kencing.
“Kami kena hantar ujian di New Delhi dan kosnya agak tinggi. Bilangan ujian yang dihantar harus menurun kerana bajet kita masih sama.
“Yang kedua, kita harus mengorak langkah melakukan rombakan strutur organisasi Adamas. Kita mahu bukan sahaja elemen ujian tetapi elemen pendidikan sedang untuk mencegah anak-anak muda dari terjebak dalam gejala doping.
Kita juga perlu beri penekanan dari segi sisasatan dan undang-undang supaya doping bukan dilihat sebagai hanya masalah sukan tetapi salah dari segi undang-undang. Ini dilalkukan supaya mempunyai ‘zero tolerance’ dalam gejala doping," kata Dr Ramlan.
Tambah beliau, setelah kemunculan Lance Armstrong dalam program bual bicara Oprah Winfrey, Dr Ramlan ingin melihat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengambil tindakan yang sama, adil dan konsisten kepada pelumba-pelumba yang diuji positif dadah.
“Janganlah kita sasar Lance Armstrong sahaja walhal ada ramai lagi yang melakukan kesalahan yang sama,” akhiri beliau.