Terbuka Thailand: Zii Jia mampu cipta kejutan, kata Roslin
Astro Arena
Januari 4, 2021 07:40 MYT
Januari 4, 2021 07:40 MYT
BUKAN sengaja mahu menggembar-gemburkan aksi Lee Zii Jia sebelum berjuang, namun bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim, menganggap Zii Jia sebagai antara pemain yang berbahaya dan mampu mencipta kejutan biarpun sekadar diletakkan sebagai pilihan kelapan Terbuka Thailand.
Pencabar yang bakal ditentang Zii Jia pernah ditundukkannya sebelum ini, sekali gus ia bakal memberikan kelebihan psikologi buat anak jati Kedah itu apabila turun ke gelanggang.
"Saya mengharapkan keputusan positif dalam Terbuka Thailand kali ini. Ketiadaan wakil Jepun dan China membuka peluang untuk meraih kejuaraan di sana," kata Roslin.
Sementara itu, Roslin berharap tiada lagi alasan untuk wakil negara tersingkir awal setelah tiada penglibatan China dan Jepun di Terbuka Thailand yang bakal bermula 12 Januari ini.
Dia juga berasakan ini peluang keemasan buat kem badminton Malaysia untuk mara sejauh yang mungkin memandangkan beberapa pemain sedang berusaha mengukuhkan kedudukan untuk layak beraksi di saingan akhir Jelajah Dunia BWF 27 Januari ini.
"Ini merupakan kejohanan pertama dalam tempoh COVID-19 dan ia harus digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan keputusan positif oleh barisan pemain negara."
#wakil negara
#tersingkir awal
#badminton
#Terbuka Thailand
#Jepun
#China
#Roslin Hashim
#Lee Zii Jia
#peluang keemasan
#Jelajah Dunia BWF
#BWF