Terbuka Thailand: Skuad Malaysia teruja kembali ke pentas antarabangsa
Astro Arena
Januari 4, 2021 07:32 MYT
Januari 4, 2021 07:32 MYT
SKUAD badminton Malaysia tetap teruja untuk kembali memulakan aksi antarabangsa pertama selepas 10 bulan di sebalik kebimbangan dengan penularan pandemik COVID-19.
Ia dianggap sebagai peluang terbaik untuk mara lebih jauh dalam Terbuka Thailand ini, tatkala buat julung kalinya, tiada wakil dari kuasa besar, China dan Jepun dalam saingan bertaraf tinggi sebegini.
Congakan awal menyaksikan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, boleh merintis laluan yang cukup baik ke final, apabila jaguh Jepun, Kento Momota, sah menarik diri selepas disahkan positif COVID-19 pada Ahad.
Jika Zii Jia berjaya lepas pusingan pertama menentang HS Prannoy, K. Srikanth, Chou Tien Chien, serta Anders Antonsen, adalah antara jangkaan lawan yang bakal dihadapi untuk menempa laluan ke peringkat akhir pertama kejohanan bertaraf 1000 dalam kariernya.
"Semua pemain akan bermula daripada mula semula kerana selepas lama tidak beraksi. Semua pemain akan berusaha mendapatkan sentuhan dalam saingan itu nanti," kata Zii Jia.
Dalam masa sama, Zii Jia mengakui tempang tanpa pengarah kejurulatihan, Wong Choong Hann, yang tidak dapat turut bersama dalam rombongan ke Bangkok kali ini setelah mendapat perkhabaran kurang gembira, positif COVID-19 ketika menjalani ujian saringan pada Ahad.
"Kami tidak menyangkakan Choong Hann disahkan positif COVID-19 dan dia mahukan kami tidak terlalu memikirkan perkara ini bagi memastikan permainan terbaik di Thailand nanti."
#China
#Jepun
#Malaysia
#badminton
#ujian saringan
#COVID-19
#Bangkok
#Thailand
#kuasa besar
#Wong Choong Hann
#Lee Zii Jia