Terbuka Thai: Soon Huat-Lai Jemie terkandas pusingan pertama
Bernama
Mei 14, 2024 05:40 MYT
Mei 14, 2024 05:40 MYT
BANGKOK: Cabaran pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terkandas seawal pusingan pertama selepas dikalahkan pasangan bukan pilihan dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat di Terbuka Thailand 2024, semalam.
Soon Huat-Lai Jemie selaku pasangan pilihan ketiga kejohanan itu, tewas kepada Ruttanapak-Jhenicha 21-19, 17-21 dan 13-21 dalam masa 56 minit.
Set pertama menyaksikan pasangan ke-16 dunia itu berhadapan perlawanan sengit antara kedua pasangan hingga ke akhir permainan, namun kecederaan yang dialami Sooh Huat pada set kedua menyaksikan mereka tewas set itu dan juga set penentuan.
Soon Huat yang ditemui selepas perlawanan mengakui, kecederaan pada buku lali kanannya, menyebabkan beliau kehilangan tumpuan ketika perlawanan.
Beliau berkata kecederaan itu memperlahankan permainannya dan walaupun telah mendapatkan rawatan ketika set ketiga, namun ia tidak benar-benar pulih.
"Rentak permainan saya terjejas disebabkan kecederaan itu, namum kami teruskan juga. Tentu sekali kami kecewa dengan keputusan hari ini, tetapi kami akan fokuskan kepada kejohanan seterusnya, iaitu Masters Malaysia minggu hadapan," katanya kepada Bernama semalam.
Pasangan itu meletakkan sasaran mereka tahun ini, untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir di China.
Hari ini akan menyaksikan pemain Malaysia yang lain akan memulakan cabaran masing-masing pada pusingan pertama termasuk Lee Zii Jia yang akan bertemu pemain China Lei Lan Xi, Leong Jun Hao akan berhadapan pemain Taiwan Su Li Yang, manakala wakil perseorangan wanita tunggal negara K. Letshanaa akan berhadapan Supanida Katethong (Thailand).
Beregu lelaki pula menyaksikan Arif Junaidi-Yap Roy King bertemu Lu Ching Yao-Yang Po Han (Taiwan), Choong Hon Jian-Muhammad Haikal melawan Christopher Grimley-Matthew Grimley (Scotland) dan Boon Xin Yuan-Goh V Shem menentang Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).
Beregu lelaki lain ialah Low Hang Yee-Ng Eng Cheong bertemu Chiang Chien-Wei-Wu Hsuan Yi (Taiwan), Nur Mohd Azryn Ayub Azryn-Tan Wee Kiong menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India), Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe menentang Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) dan Chia Weijie-Liew Xun bertemu Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-nga (Thailand).
Pasangan beregu campuran pula melibatkan Yap Roy King-Valeree Siow menentang Lui Chun Wai-Fu Chi Yan (Hong Kong) manakala Choong Hon Jian-Go Pei Kee bertemu Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon (Thailand)
-- BERNAMA