Terbuka AS: Sze Fei-Nur Izzuddin hampiri juara kejohanan pertama tahun ini

Bernama
Julai 16, 2023 10:30 MYT
Pasangan Sze Fei-Nur Izzuddin (gambar) berpeluang memecah kebuntuan tanpa gelaran selama lebih setahun selepas kali terakhir mereka melakukannya di Terbuka Jerman 2022. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini semakin hampir untuk memenangi gelaran pertama mereka tahun ini, selepas layak ke final badminton Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023, pada Sabtu.
Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu, hanya memerlukan 35 minit untuk mengetepikan cabaran pasangan pilihan kelima kejohanan dari China Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-14, 21-17, pada perlawanan separuh akhir pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Mid-America, Council Bluffs, Iowa.
Pasangan kembar dari Taiwan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen menjadi cabaran Sze Fei-Nur Izzuddin di final selepas pasangan pilihan ketujuh kejohanan itu, menewaskan pasangan senegara Lin Yun Chieh-Su Li Wei, 21-17, 21-12, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Pasangan Malaysia itu berpeluang untuk memecah kebuntuan tanpa gelaran selama lebih setahun selepas kali terakhir mereka melakukannya di Terbuka Jerman 2022, dengan menewaskan pasangan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 23-21, 16-21, 21-14.
Terbuka AS ini merupakan kejohanan pertama buat pasangan ke-53 dunia itu, selepas mereka berpisah pada Februari tahun ini, dan kembali bersama bulan lepas.
-- BERNAMA
#badminton #Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani #Terbuka Amerika Syarikat #Chen Bo Yang-Liu Yi
;