Terbuka Switzerland: Soon Huat-Shevon raih gelaran selepas tiga kali mencuba
Bernama
Mac 25, 2024 15:46 MYT
Mac 25, 2024 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas tiga kali mencuba akhirnya pasangan beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, berjaya mengungguli kejohanan Terbuka Switzerland 2024.
Menamatkan saingan sebagai naib juara pada edisi 2022 dan 2023, Soon Huat-Shevon tidak pernah patah semangat untuk berusaha sehingga berjaya menjulang gelaran sulung mereka di Terbuka Switzerland, selepas menewaskan rakan senegara dalam aksi final di St. Jakobshalle, Basel pada Ahad.
Beregu ranking ke-14 dunia itu, mencipta kejutan ke atas pasangan ranking kesembilan dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-16, 21-13.
Soon Huat yang berkongsi kegembiraan meraih gelaran tersebut berkata segala penat lelah diharungi mereka selama ini, akhirnya terbalas dengan kejayaan itu.
"Juara Terbuka Switzerland 2024, menunggu selama tiga tahun. Kejayaan ini hasil keringat dan air mata kami," katanya menerusi hantaran di laman Instagram hari ini.
Dalam pada itu Shevon mendedikasikan kejayaan tersebut kepada jurulatih Teo Kok Siang dan keseluruhan pasukan mereka atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini.
Pada edisi tahun lalu, Soon Huat-Shevon tewas pada perlawanan final kepada pasangan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 17-21, 21-19, 17-21.
Sebelum itu pada edisi 2022, mereka dikecewakan pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Lohau, 21-12, 18-21, 17-21.
Ia merupakan gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia selepas mengecapi kejayaan pada Terbuka Jerman 2018 dan Terbuka Singapura 2018.
Soon Huat-Shevon turut mencipta sejarah apabila menjadi pasangan Malaysia yang pertama merangkul gelaran beregu campuran Terbuka Switzerland, sejak kategori itu diperkenalkan pada 1956.
Selaku juara kejohanan Super 300, pasangan itu meraih hadiah kemenangan AS$16,590 (RM78,000) manakala Tang Jie-Ee Wei membawa pulang AS$7,980 (RM38,000).
-- BERNAMA
#beregu campuran negara
#Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie
#badminton
#muncul juara
#Terbuka Switzerland 2024