Terbuka Switzerland: Soon Huat-Shevon mara ke pentas akhir

Bernama
Mac 26, 2023 10:15 MYT
Beregu campuran itu melangkah ke pentas akhir selepas mengatasi Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-14, 23-21 dalam tempoh 38 minit. - Foto Facebook/BAM
KUALA LUMPUR: Beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi beregu tunggal negara untuk meneruskan perjuangan Malaysia pada Kejohanan Terbuka Switzerland 2023 berlangsung di Basel.
Beregu campuran itu melangkah ke pentas akhir selepas mengatasi Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-14, 23-21 dalam tempoh 38 minit, di St. Jakobshalle, awal pagi tadi (4.30 pagi waktu Malaysia).
Selepas menang set pertama 21-14, Soon Huat-Shevon yang juga pilihan keenam kejohanan, ditentang hebat pasangan Belanda itu sebelum berjaya mengawal permainan dan memenangi pertarungan sengit berakhir dengan 23-21.
Keputusan itu menyaksikan beregu ranking ke-11 dunia itu akan bertemu wakil China Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin yang mara selepas menundukkan wakil Taiwan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-13, 23-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, hasrat perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia bagi meraih gelaran pertamanya musim ini musnah selepas ditundukkan pemain Jepun Koki Watanabe straight set 11-21, 14-21.
-- BERNAMA
#Terbuka Switzerland #Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie #pentas akhir #Robin Tabeling-Selena Piek
;