Terbuka Stutgart: Kejayaan tanah liat pertama Bencic selepas dua tahun

Astro Arena
April 20, 2021 11:14 MYT
Belinda Bencic (kanan) dan Nastasja Schunk selepas tamat pusingan pertama pertarungan mereka dalam Terbuka Stuttgart di Porsche-Arena, Stuttgart, Jerman, 19 Apr, 2021. REUTERS
BELINDA Bencic merakamkan kejayaan pertamanya di tanah liat sejak Kejohanan Tenis Terbuka Perancis 2019 apabila mengetepikan pemain remaja, Nastasja Schunk, dalam Terbuka Stuttgart, awal pagi tadi.
Pemain nombor 12 dunia itu meraih kemenangan 6-4, 6-2 ke atas pemain kelayakan berusia 17 tahun itu yang menyelamatkan lima mata perlawanan dalam servis terakhirnya sebelum Bencic memuktamadkan kemenangannya.
"Saya berusaha memperbaiki diri di gelanggang tanah liat," kata Bencic selepas kemenangan pusingan pertama itu.
"Saya rasa menjadi lebih baik dan kadang-kadang tidak menjadi. Saya cuba yang terbaik di atas permukaan ini."
Maria Sakkari turut selesa untuk melangkah ke pusingan berikutnya dengan menyingkirkan Andrea Petkovic 6-2, 6-2 dalam kemunculan pertama di pentas itu.
Dalam Piala Istanbul pula, empat daripada lima perlawanan yang dijadualkan sempat diselesaikan sebelum hujan menghentikan pertarungan di antara Anastasia Pavlyuchenkova dan Anastasia Potapova.
Pemain pilihan kelapan, Wang Qiang, bangkit daripada tewas dalam set pertama sebelum mengalahkan Anastasia Gasanova 4-6, 6-1, 6-2.
Ana Konjuh, Katerina Siniakova dan Viktorija Golubic turut mara selepas menumpaskan pencabar masing-masing.
#tenis #Terbuka Perancis #Belinda Bencic #Nastasja Schunk #Terbuka Stuttgart #kejohanan #gelanggang tanah liat #Maria Sakkari #andrea petkovic #Piala Istanbul
;