Terbuka Singapura: Zii Jia terus dikecewakan tersingkir awal
Bernama
Jun 7, 2023 07:00 MYT
Jun 7, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara dan harapan pingat Olimpik, Lee Zii Jia terus dikecewakan apabila tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023.
Pemain ranking 10 dunia itu, gagal melepasi cabaran pusingan pertama dalam kejohanan Super 750 di Stadium Tertutup Singapura apabila tumpas 20-22, 21-16, 19-21 selepas beraksi selama 74 minit menentang pemain nombor 27 dunia, Weng Hong Yang dari China, malam tadi.
Dua minggu lepas, pemain berusia 25 tahun itu tersingkir pada pusingan kedua Masters Malaysia, tumbang di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi 19-21, 21-16, 15-21.
Kekalahan itu ditambah dengan beberapa prestasi buruk sejak awal tahun ini, menyaksikan dia jatuh dua anak tangga ke tempat ke-10 dalam ranking dunia, selepas menduduki ranking nombor dua dunia Oktober tahun lepas.
Hong Yang, naib juara Masters Malaysia 2023, seterusnya akan menentang rakan senegara dan penyandang juara All England, Li Shi Feng, yang terdahulu menundukkan pemain Malaysia Cheam June Wei 16-21, 21-19, 14-21.
Bekas juara dunia remaja, Goh Jin Wei juga mengalami nasib sama tersingkir awal dalam perseorangan wanita, tewas 11-21, 11-21, di tangan pemain nombor tujuh dunia, Wang Zhi Yi dari China.
Dalam beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengejutkan pemain nombor 15 dunia, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya dari Jepun 21-19, 21-11 untuk mara ke pusingan kedua.
Beregu nombor 21 dunia itu, akan bertemu Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda pada pusingan 16 terakhir, hari ini.
-- BERNAMA